WASHINGTON – Dewan Perwakilan negeri Florida meluluskan rang undang-undang (RUU) mengharamkan mineral fluorida bagi merawat bekalan air awam dengan undian 88 menyokong dan 27 menentang, lapor portal berita NBC News semalam.
RUU berkenaan tidak menyebut perkataan fluorida secara langsung tetapi mengharamkan sebatian kimia itu menerusi klausa larangan penggunaan bahan tambahan tertentu dalam sistem bekalan air.
RUU itu menunggu tandatangan Gabenor Florida, Ron DeSantis.
Sekiranya DeSantis menandatangani RUU tersebut, Florida akan menjadi negeri kedua di Amerika Syarikat yang mengharamkan fluorida dalam bekalan air.
Mac lalu, Gabenor Utah, Spencer Cox menandatangani RUU serupa sekali gus menjadi negeri pertama berbuat demikian.
Terdahulu, semasa sesi perbahasan, penyokong RUU itu berhujah bahawa fluorida tidak meningkatkan kualiti air.
Namun, sebilangan wakil rakyat lain berpendapat bahawa penduduk Florida memerlukan fluorida untuk kesihatan gigi. – AGENSI