Pemandu teksi halang ambulans bawa pesakit jantung

teksi halang ambulans

Teksi tersebut menghalang laluan ambulans di jalan sempit. – Facebook

BANGKOK – Seorang pemandu teksi di Phuket mengundang kecaman orang ramai apabila dia dengan sengaja menghalang laluan ambulans yang ketika itu membawa pesakit jantung, lapor laman berita Thaiger.

Kejadian berlaku pada pagi Ahad lalu.

Berdasarkan video tular, sebuah ambulans dilihat melalui sebatang jalan sambil membunyikan siren kecemasan.

Ketika melalui satu jalan sempit, sebuah teksi berwarna hijau dipandu ke tengah jalan sekali gus menghalang ambulans tersebut untuk memotongnya.

Kedua-dua kenderaan itu kemudian bergesel, menyebabkan pergerakan terhenti sepenuhnya.

Pemandu ambulans dilihat cuba menggerakkan kenderaan itu, namun teksi tersebut menghalang pergerakannya.

Menurut laporan, ambulans tersebut ketika itu membawa seorang lelaki berusia 62 tahun yang diserang sakit jantung.

Lebih menyedihkan, dia disahkan meninggal dunia ketika berada di dalam ambulans meskipun petugas kecemasan telah berusaha menyelamatkan nyawanya.

“Siren ambulans dibunyikan tetapi teksi itu enggan memberi laluan dan bergerak, manakala jalan itu sangat sempit.

“Sekiranya ambulans dapat bergerak dengan cepat, mereka mungkin boleh menyelamatkan nyawa pesakit,” kata beberapa saksi.

Sementara itu, laman berita KhaoSod melaporkan, pemandu teksi tersebut telah dipanggil untuk memberi keterangan di balai polis.

Dakwaan awal juga telah dikenakan ke atasnya termasuk menghalang laluan kenderaan kecemasan serta melanggar hak-hak pesakit. – AGENSI