BANGKOK – Isi rumah dan perniagaan di Thailand akan melihat pengurangan dalam bil elektrik mereka, lapor portal berita The Nation hari ini.
Ini berikutan langkah Suruhanjaya Kawal Selia Tenaga (ERC) bakal mengumumkan penurunan tarif elektrik untuk tempoh Mei hingga Ogos 2025.
Kadar baharu itu dijangka jatuh kepada 3.99 baht (RM0.51) seunit, penurunan daripada 4.15 baht (RM0.53) seunit yang dinyatakan sebelum ini.
Pengumuman mengenainya akan dibuat oleh Setiausaha Agung dan jurucakap ERC, Poonpat Leesombatpiboon. Penurunan itu susulan cadangan yang dikemukakan oleh Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand (EGAT).
Penurunan tarif elektrik itu bertujuan untuk meringankan beban kewangan kos tenaga kepada orang ramai yang merupakan antara objektif utama dasar kerajaan. – AGENSI