Menteri Kabinet Zahir Penghargaan Terhadap Sumbangan Pekerja Kepada Pembangunan Negara

Hampir 10,000 ribu warga kerja dari sektor awam dan swasta hadir pada sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ddi Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Iteenews) –Bersempena sambutan Hari Pekerja hari ini, beberapa Menteri Kabinet menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan para pekerja dalam semua sektor yang menjadi pemangkin kepada pembangunan negara menerusi hantaran di media sosial masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tema sambutan tahun ini, "Pekerja Kesuma Bangsa", merupakan satu penghormatan yang wajar diberikan kepada seluruh warga pekerja yang setiap hari mencurahkan tenaga dan keringat demi kemajuan negara.

Beliau berkata kerajaan sentiasa komited memperjuangkan hak serta kebajikan pekerja, di samping memperkukuh ekosistem pekerjaan yang lebih adil, progresif dan berdaya saing.

Ad Banner

"Kita mahu setiap titik peluh itu dibalas dengan peluang, pengiktirafan dan keadilan yang sewajarnya," katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menerusi hantaran di Facebook.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pula berkata dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa, peranan para pekerja menjadi semakin penting dalam menyumbang kepada proses membuat keputusan yang adil dan inklusif.

Menurut Fadillah,sumbangan, khidmat bakti dan buah fikiran pekerja dari pelbagai sektor menjadi asas penting kepada pembangunan dan kemajuan negara.

"Semoga kita semua dapat memenuhi tuntutan fardhu kifayah melalui usaha dan keikhlasan dalam setiap pekerjaan yang dipertanggungjawabkan kepada kita," kata Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan menghargai jasa serta sumbangan semua pekerja, tanpa mengira sama ada mereka dalam sektor awam atau swasta, yang menjadi tulang belakang pembangunan negara.

Beliau berkata setiap titik peluh yang dicurahkan bukan sahaja demi menyara keluarga, malah turut menyumbang kepada kemakmuran masyarakat dan kestabilan negara.