Oleh Khatijah Jistoh
SANDAKAN, 1 Mei (Iteenews) — Ketika negara giat bersiap sedia menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), keperluan terhadap kemudahan digital – khususnya perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi dan penyediaan Wi-Fi menjadi keutamaan bagi meningkatkan pengalaman pelancong sekali gus memperkukuh industri pelancongan negara.
Pengusaha The Elopura Hotel Sandakan Datuk Md Afendi Hamdan berkata penyediaan perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi di lokasi pelancongan utama seperti Sepilok, akan membuka ruang kepada pelancong untuk berkongsi pengalaman secara langsung di akaun media sosial mereka.
“Perkongsian oleh pelancong di media sosial secara tidak langsung membantu mempromosikan kawasan pelancongan negara dan Tahun Melawat Malaysia 2026, sebab itu kita memerlukan liputan Internet laju seperti di Sepilok ini.
“Pelancong yang datang melihat Orang Utan di Sepilok lebih kurang dua juta orang setiap tahun, dan di bahagian Rainforest Discovery Center (RDC) sahaja ada 70,000 pengunjung sebulan, manakala 90 peratus pengunjung pula adalah dari luar negara," katanya kepada Iteenews.
Terletak kira-kira 23 kilometer dari bandar Sandakan, RDC berada di lokasi strategik yang berhampiran dengan dua tarikan utama iaitu Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok yang ikonik dan Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo.
Pada Sabtu lepas, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan syarikat telekomunikasi meneliti serta merangka penyelesaian bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan Internet di kawasan pelancongan Sabah menjelang 2026.
Md Afendi berkata akses Internet yang pantas dan stabil membolehkan pelancong memuat naik gambar dan video ke platform seperti TikTok, Instagram, Facebook dan YouTube, yang seterusnya membantu mempromosikan Sabah secara lebih meluas.
“Kalau ada Wi-Fi percuma disediakan di kawasan pelancongan, itu lagi bagus. Maknanya kandungan bagus ini akan cepat disebarkan, macam di Sepilok ini ada aktiviti skywalker, night safari dan canopy walk pada waktu malam. Saya percaya dengan promosi melalui Internet, kemasukan pelancong akan bertambah,” katanya.