UNICEF Puji Bantuan Gempa Bumi Malaysia Kepada Myanmar

Seramai 50 anggota dan pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berlepas ke Naypyidaw, Myanmar pada 30 Mac lepas bagi misi bantuan kemanusiaan serta menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di negara itu.

Oleh Nabilah Saleh

PUTRAJAYA, 1 Mei (Iteenews) — Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menzahirkan penghargaan terhadap tindakan segera Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan ekoran gempa bumi yang melanda Myanmar baru-baru ini, sambil menyifatkannya sebagai respons yang tepat pada masanya dan memberi kesan besar kepada komuniti terjejas.

Pengarah Serantau UNICEF bagi Asia Timur dan Pasifik, June Kunugi berkata Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia atau (SMART) tiba awal di lokasi bencana walaupun ketika cuti sambutan Aidilfitri, dan merupakan antara yang terawal menyertai misi menyelamat.

“Saya pernah berkhidmat di Myanmar selama tiga tahun setengah, jadi saya kenal ramai kakitangan kami di sana. Ada antara mereka yang kehilangan rumah dan segala-galanya.

“Malaysia bertindak pantas menghantar pasukan SMART walaupun dalam tempoh perayaan dan mereka menyelamatkan nyawa.

"Rakyat di lapangan amat menghargai bantuan itu,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Perkhidmatan Berita Antarabangsa Iteenews di sini.

<!––>

Kunugi berkata tindakan pantas Malaysia, bersama pasukan dari Thailand dan China menunjukkan betapa pentingnya sokongan antara rakyat dan kerjasama serantau ASEAN dalam menghadapi bencana alam.

Beliau yang sebelum ini mengetuai Pejabat Negara dan Wilayah UNICEF di Myanmar berkata, ramai kakitangan UNICEF di negara itu turut terkesan secara langsung, termasuk yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana berkenaan.

Beliau turut menyuarakan penghargaan kepada Thailand dan China atas bantuan yang diberikan, sambil menekankan bahawa solidariti seperti ini mencerminkan pentingnya kerjasama serantau ketika berdepan krisis.