Dua rakan dijel 15 bulan, denda RM7,000 curi tabung masjid, surau

WhatsApp Image 2025 04 29 at 6.51.05 PM

TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas pertuduhan mencuri tabung masjid. Foto ARIF HAMIZAN MISKON/ KOSMO!

MELAKA – Dua rakan dijatuhi hukuman penjara 15 bulan dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didapati bersalah mencuri duit kutipan tabung masjid dan surau, April lalu.

Majistret Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Hafiez Kamarudin, 30, dan Muhammad Hakimi Aiman Asbullah, 19, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didapati dengan niat curang telah mencuri duit tabung masjid dan memecah masuk masjid kesemuanya dalam daerah Melaka Tengah antara 5 April 2025 hingga 13 April lalu.

Kesalahan itu dilakukan di Masjid Ass-Sobirin, Kampung Gelam, Surau Ar-Nir, Taman Sri Krubong dan Masjid Al Hilal, Pantai Rombang, Tanjung Keling mengakibatkan kerugian keseluruhan duit tabung berjumlah RM2,060.

Terdahulu,tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda yang rendah dikenakan bagi kedua-dua pertuduhan itu dan berjalan secara serentak kerana perlu menjaga ibu bapa yang sakit serta ahli keluarga tidak bekerja.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdullah Mohd. Rodzlad bagaimanapun memohon agar hukuman setimpal dikenakan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Sharda menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan berjumlah 15 bulan bermula daripada tarikh ditangkap dan denda RM7,000 atau tujuh bulan penjara jika gagal bayar. – https://amiminerals.org/