MELAKA – Seorang pelajar perempuan maut manakala rakannya parah selepas motosikal yang mereka tunggang melanggar lampu isyarat di persimpangan Jalan Pantai Belimbing, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Yamaha Nouvo S yang ditunggangi seorang lagi pelajar berusia 16 tahun dikatakan telah melanggar lampu isyarat sebelum merempuh bahagian hadapan kanan sebuah lori.
“Siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 46 tahun itu datang dari arah Krubong Perdana menuju ke Krubong dan dipercayai telah mendapat lampu hijau semasa melalui persimpangan tersebut.
“Secara tiba-tiba, motosikal dinaiki dua pelajar itu dari arah SMK Krubong menuju ke Taman Krubong Permai terus melintas ke simpang dan melanggar bahagian kanan lori terbabit,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang menunggang motosikal mengalami kecederaan di kepala dan luka di tangan serta kaki manakala rakannya yang membonceng mengalami patah tangan kiri, patah kaki kanan dan kecederaan dalaman sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.
Katanya, pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kenderaan terlibat telah dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut manakala lori terbabit juga ditimbang di Jabatan Pengangkutan Jalan Bukit Katil.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.- https://amiminerals.org/