Korea Utara mengaku tenteranya berperang bebaskan wilayah Russia 

HANTAR

GAMBAR dirakam 25 April lalu menunjukkan Jong-un dan anak perempuannya, Ju-ae menghadiri majlis pelancaran kapal pemusnah baharu di pelabuhan Nampo, bandar Nampo, Korea Utara. – AFP 

YONGYANG – Korea Utara mengesahkan buat pertama kalinya hari ini bahawa pihaknya menghantar tentera ke Russia, dengan agensi berita rasmi KCNA melaporkan askar Pyongyang membantu Moscow mendapatkan semula wilayah Kursk yang ditawan oleh Ukraine.

Pengakuan itu menyusul beberapa hari selepas Moscow mengesahkan penyertaan Korea Utara, manakala Presiden Vladimir Putin menghargai penglibatan tentera Pyongyang.

Agensi perisikan Korea Selatan dan Barat sudah lama melaporkan bahawa Korea Utara menghantar lebih 10,000 askarnya untuk membantu pertempuran di Kursk tahun lalu.

“Tentera Korea Utara menyertai operasi pembebasan Kursk,” kata Suruhanjaya Tentera Pusat Pyongyang dalam laporan KCNA.

Keputusan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un untuk mengerahkan tentera, katanya, adalah berdasarkan  perjanjian pertahanan bersama.

“Semua mereka yang memperjuangkan keadilan adalah wira dan wakil kehormatan tanah air,” kata Jong-un yang dipetik  KCNA.

Putin pula memuji ‘sahabat Korea’ kerana sokongan mereka di Kursk.

“Kami sangat menghargai dan amat berterima kasih kepada sahabat Moscow, Kim Jong-un secara peribadi dan rakyat Korea Utara,” Kremlin memetik Putin sebagai berkata. – AFP