PUTRAJAYA, 30 April (Iteenews) — Kerajaan memutuskan untuk menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi bagi telur ayam bermula 1 Ogos ini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kawalan harga telur ayam juga akan ditamatkan, manakala kadar subsidi akan dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji berkuat kuasa esok, sebelum subsidi dihentikan sepenuhnya.
“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin, berikutan kos pengeluaran yang telah stabil.
“Keadaan ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri lalu, apabila bekalan telur berada pada tahap mencukupi dengan harga yang kompetitif,” menurut kenyataan itu.
KPKM menjelaskan bahawa keputusan kerajaan untuk menyasar semula subsidi telur ayam dibuat dengan mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama adalah tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara.
"Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk pembayaran subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi menampung peningkatan kos pengeluaran berikutan pandemik COVID-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Russia ke atas harga import soya dan jagung bijian," menurut kementerian.
KPKM turut menyatakan bahawa langkah penyasaran semula subsidi ini adalah lebih adil memandangkan ketika ini, subsidi turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Menurut kementerian itu, hasil penjimatan boleh digunakan untuk membiayai projek tertentu bagi menjamin kesejahteraan rakyat, selaras dengan nilai-nilai MADANI.
KPKM memaklumkan bahawa beberapa langkah intervensi akan dilaksanakan pihaknya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi meminimumkan impak terhadap kos sara hidup rakyat susulan keputusan berkenaan.