MUAR – Hasrat seorang pesara guru untuk menggandakan wang simpanan dengan menyertai skim pelaburan atas talian tidak kesampaian apabila diperdaya RM189,199.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, kejadian berlaku apabila mangsa seorang wanita berusia 66 tahun tertarik dengan iklan pelaburan yang menguntungkan sebelum dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp.
“Mangsa kemudian dihubungi seorang individu melalui aplikasi WhatsApp yang merupakan salah seorang pelabur dalam kumpulan pelaburan berkenaan.
“Wanita tersebut kemudian ditawarkan membuat pelaburan dan diberikan penerangan bagaimana untuk melabur, jumlah modal dan keuntungan yang bakal diperolehi iaitu antara 6.1 peratus hingga hingga 12.9 peratus,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Raiz, mangsa yang berminat dengan tawaran dan pulangan menguntungkan telah membuat 23 transaksi pindahan wang ke dalam satu akaun bank atas satu syarikat sebanyak RM189,199 pada 17 Februari lalu.
“Mangsa diberikan satu pautan untuk menyemak keuntungan dan mendapati pulangan pelaburan sebanyak RM956,016.84 telah dimasukkan seperti mana yang dijanjikan.
“Bagi menebus pulangan pelaburan mangsa diminta membayar RM150,000 dan keadaan itu membuatkan mangsa curiga dan cuba menghubungi individu yang menawarkan pelaburan berkenaan namun gagal,”ujarnya.-https://amiminerals.org/