KUALA LUMPUR – Majlis AIDS Malaysia (MAC) melaporkan peningkatan kes HIV dalam kalangan remaja dan belia di bawah 30 tahun yang kini menjadi golongan paling berisiko tinggi jangkitan HIV di negara ini.
Setiausaha Kehormat MAC, Dr. Zaiton Yahya berkata, kebanyakan kes baharu adalah dalam kalangan remaja lepasan sekolah dan universiti.
Katanya, golongan muda kebanyakannya tidak mengetahui risiko yang mereka hadapi tetapi mereka cenderung untuk terlibat dengan tingkah laku berisiko tinggi.
Menurutnya, walaupun kes berkaitan penggunaan dadah dan perkongsian jarum suntikan menunjukkan penurunan, namun sebaliknya bagi kes jangkitan melalui aktiviti seksual.
“Masa kita bagi jarum baharu untuk mengelakkan perkongsian jarum, kita dapat lihat kes berkurangan, tetapi kes melalui hubungan seksual pula semakin meningkat,”katanya.
Majlis AIDS Malaysia sebelum ini komited untuk menjalankan program kesedaran di universiti dan sekolah-sekolah untuk mencegah remaja daripada terlibat dalam aktiviti berisiko tinggi yang boleh mendedahkan mereka kepada jangkitan HIV. – https://amiminerals.org/