PRK Ayer Kuning: Ahmad Zahid Puas Hati Kerjasama Jentera BN, PH Sepanjang Kempen

3615d9c280f199b2c911f25ce4913936680c75ca66e7eTimbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

BAGAN DATUK, 26 April (Iteenews) — Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpuas hati dengan kerjasama erat antara jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) sepanjang 14 hari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Presiden UMNO itu berkata kesepakatan yang ditunjukkan sepanjang kempen PRK tersebut diterjemahkan dengan baik, sama seperti yang dilakukan pada PRK DUN Nenggiri, Kelantan, dan DUN Mahkota, Johor, sebelum ini yang membawa kepada kemenangan calon BN.

“Insya-Allah, kita akan berjaya mempertahankan kerusi itu (Ayer Kuning) dan saya doakan ustaz (Dr. Mohamad Yusri Bakir) akan berjaya…mudah-mudahan Allah merestui dan memakbulkan doa ini.

“(Bagaimanapun) kemenangan ini bergantung kepada peratusan pengundi yang akan keluar mengundi memandangkan ada dalam kalangan pengundi Melayu yang baru pulang dari kampung selepas Hari Raya, manakala pengundi Cina juga baru pulang dari perayaan Qingming,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Karnival RISDA MADANI (KARRISMA) Zon Utara Tahun 2025 di Dewan Dato' Mohamed Jamrah, Sungai Sumun, di sini hari ini.

Turut hadir,Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Pengerusi RISDAManndzri Nasib danKetua Pengarah RISDAZainal AzniZulkifli.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut berharap agar jentera parti dapat membantu menggerakkan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

“Saya harap cuaca tidak hujan sehingga petang dan jentera dapat lakukan ‘get out the voters’…saya harap mereka keluar rumah (untuk mengundi),” katanya.

Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 63 saluran telah dibuka serentak pada 8 pagi tadi bagi PRK DUN Ayer Kuning.