12,000 tandas sekolah dibaiki peruntukan RM1 bilion – PM

WhatsApp Image 2025 04 25 at 5.37.31 PM

Anwar (tengah) menerima replika cek dari Berjaya Cares Foundation pada Majlis Santunan Kasih KPKT di Parlimen Tambun di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Poi Lam, Ipoh hari ini. – Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

IPOH – Kira-kira 12,000 tandas sekolah dibaiki bagi memberi keselesaan murid dan pelajar selain mendidik golongan tersebut tentang aspek kebersihan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan asas di sekolah menjadi keutamaan beliau sebaik dilantik menjadi Perdana Menteri dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion dibelanjakan untuk tujuan tersebut.

“Untuk pendidikan apa yang pertama saya lakukan kemudahan asas. Anak-anak tahu mengapa saya tekankan hal ini? kerana kita latih anak-anak disiplin dan kebersihan.

“Kalau tandas sekolah rosak atau kotor. Pendidikan apa?”katanya semasa berucap pada majlis penyerahan sumbangan kepada pelajar sekolah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Poi Lam di sini hari ini.

Anwar berkata, setiap kali berkesempatan bertemu murid, beliau akan bertanyakan tentang hal sekolah termasuk mendengar luahan kerosakan tandas.

“Tadi saya tanya seorang (murid), dia kata satu tandas rosak. Hari Isnin ini saya akan pastikan ada pegawai pergi ke sekolah itu dan cuba selesaikan masalah tandas di sekolah tersebut.

“Ini maklumat yang baik. Orang tanya mana Perdana Menteri dapat maklumat ini. Setiap Jumaat saya pergi ke masjid, banyak anak-anak sekolah.

“Saya tanya sekolah mana, darjah berapa, tandas sekolah bagaimana. Itulah feedback (maklum balas) saya. Saya segera hubungi Menteri Pendidikan untuk selesaikan masalah yang saya dengar langsung daripada anak-anak,”katanya. – https://amiminerals.org/