Top ECM 2025 catat jualan RM158 juta

WhatsApp Image 2025 04 25 at 5.56.36 PM

Amirudin ketika berucap pada sambutan Hari Raya Sidec dan Malaysia Top E-Commerce di Hotel One World, Petaling Jaya. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

PETALING JAYA – Kempen Malaysia Top E-Commerce Merchant (Top ECM) 2025 berjaya mencatat jualan sebanyak RM158 juta, sekali gus membuktikan kekuatan sektor perdagangan digital negara yang semakin berkembang pesat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pencapaian itu juga menjadikan jumlah keseluruhan Nilai Barangan Kasar (GMV) sejak tahun 2016 melebihi RM500 juta.

Menurutnya, tahun ini sahaja, sebanyak 1,060 penyertaan diterima melibatkan pelbagai sektor termasuk fesyen, makanan dan minuman, kecantikan, kelengkapan rumah, peralatan dan produk bayi.

“Daripada jumlah penyertaan itu, 511 peniaga telah tersenarai dan menyertai latihan seperti analisis data, penstriman langsung, lawatan industri dan latihan pencipta kandungan.

“Selain jualan tinggi, kita menyaksikan kreativiti luar biasa usahawan menerusi Livestream Battle dengan TikTok Shop melibatkan 46 sesi siaran langsung selama 132 jam,” katanya ketika berucap sempena Majlis Anugerah Top ECM 2025 dan Sambutan Hari Raya SIDEC hari ini.

Hadir sama Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han dan Ketua Pegawai Eksekutif SIDEC, Yong Kai Ping.

Seramai 24 usahawan menerima pengiktirafan dalam pelbagai kategori seperti Anugerah Wanita Peneraju, ‘TikTok Special Category’ dan ‘Sidec Rising Star Award’ dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM250,000.

Katanya, kerajaan negeri komited untuk terus membangunkan ekosistem digital yang mampan menerusi inisiatif seperti ‘Selangor Accelerator Programme’ dan ‘Selangor 1000 Digital’.

“Kita mahu pastikan setiap perniagaan kecil mahupun besar mendapat akses teknologi dan sokongan sewajarnya agar mampu bersaing dalam dunia digital yang pantas berubah,” ujarnya. – https://amiminerals.org/