Bagnaia mahu all-out, cabar Marquez

Bagnaia

BAGNAIA mendedahkan bakal memperagakan sesuatu yang baharu dalam perlumbaan sprint GP Sepanyol hari ini. – AFP

JEREZ – Francesco Bagnaia enggan terus dibayangi permulaan musim yang suram, sebaliknya tampil dengan semangat baharu menjelang Grand Prix (GP) Sepanyol di Litar Jerez hujung minggu ini.

Bagnaia yang mesra disapa Pecco kini meletakkan matlamat untuk menamatkan dominasi Marc Marquez dan membuktikan dia masih pencabar utama kejuaraan dunia.

“Saya tak rasa ini ujian peribadi. Tekanan sebenar datang daripada luar trek, orang lebih suka menilai dari media sosial berbanding apa yang kami tunjuk di litar,” kata juara dunia dua kali itu yang pernah menang tiga kali berturut-turut di Litar Jerez.

Bagnaia kini dihimpit tekanan bukan sahaja oleh prestasi konsisten Marquez bersama Ducati, tetapi juga disebabkan kritikan netizen yang menurutnya semakin tidak masuk akal.

“Saya mahu bercakap tentang masa hadapan, bukan isu yang diputar belit. Terlalu banyak tumpuan pada dunia maya, sedangkan realiti sebenar adalah di trek,” katanya.

Marquez yang kini dianggap pelumba paling konsisten musim ini, bakal menjadi pencabar utama di Jerez iaitu trek yang menyimpan banyak kenangan buat kedua-duanya apabila tahun lalu, mereka bertarung sengit sebelum Bagnaia mencatat kemenangan dramatik.

“Kali ini lebih mencabar. Marc semakin selesa, makin kompetitif. Saya yang perlu kejar dan cari semula rentak. Tapi saya tahu kami ada potensi untuk menang,” katanya.

Bagnaia turut menolak tanggapan Marquez kini merupakan ‘raja Ducati’, sambil mendedahkan terdapat sesuatu yang baharu akan diperkenalkan untuk perlumbaan sprint hari ini.

“Kalau saya menang di Jerez, itu tanda positif untuk seluruh pasukan. Ia akan membuktikan perubahan kami lakukan sejak awal musim semakin menjadi. Kami akan all-out hujung minggu ini,” tambah Bagnaia. – AGENSI