5 termasuk ‘Ratu Ketamin’ didakwa sebabkan kematian bintang Friends

PERRY

PERRY menghadiri parti GQ di Hollywood Barat, California pada 17 November 2022. – AFP

LOS ANGELES, California – Lima orang  didakwa kerana membekalkan ketamin kepada bintang siri drama komedi Friends, Matthew Perry dalam cubaan untuk mengeksploitasi mangsa demi keuntungan, kata beberapa pegawai Amerika Syarikat semalam.

Mereka dituduh memainkan peranan dalam kematian Perry yang disahkan meninggal dunia akibat pengambilan dadah berlebihan.

Pelakon itu meninggal dunia di rumah mewahnya di Los Angeles tahun lalu.

“Tertuduh-tertuduh ini mengambil kesempatan daripada  ketagihan Perry untuk mengaut keuntungan. Mereka tahu apa yang mereka lakukan adalah salah. Mereka juga tahu apa yang mereka lakukan mengancam nyawa mangsa tetapi tetap melakukannya,” kata pendakwa raya persekutuan, Martin Estrada.

Pertuduhan tersebut dikenakan terhadap dua doktor, pembantu rumah Perry, seorang broker dan peniaga Hollywood Utara dikenali sebagai ‘Ratu Ketamine’ yang dikaitkan dengan kematian seorang lelaki lain, juga kerana pengambilan dadah berlebihan.

Perry  yang membawa  watak Chandler Bing dalam sitkom TV popular dari  tahun 1994 hingga 2004 itu ditemui tidak bernyawa di kolam renangnya pada Oktober 2023. Mendiang berumur 54 tahun.

Bedah siasat mendapati punca kematiannya adalah akibat kesan akut ketamin. Ubat terkawal itu  diambil oleh penagih yang semakin pulih sebagai sebahagian daripada terapi tetapi diawasi ketat oleh doktor.

Estrada berkata, Perry kembali ketagih pada musim luruh 2023  apabila dia mula dibekalkan ketamin oleh Salvador Plasencia dan Mark Chavez, kedua-dua mereka ialah doktor.

Selama lebih dua bulan, mereka menjual 20 botol dadah itu kepada mangsa pada harga AS$55,000 (RM244,931). Setiap satu botol dadah itu berharga serendah AS$12 (RM53), kata Estrada.

Dalam satu mesej teks, Plasencia, 42, menulis: “Saya tertanya-tanya berapa banyak yang si bodoh (Perry) ini akan bayar…”.

Plasencia yang dilaporkan bekerja di kejiranan Calabasas, lluar Los Angeles, sedar  bahawa Perry semakin hilang kawalan tetapi berterusan membekalkan ketamin kepada mangsa.

“Pada satu ketika, dia menyuntik Perry dengan ketamin dan melihat Perry kaku serta tekanan darahnya meningkat,”  kata Estrada.

Perry juga memperoleh ketamin daripada Jasveen Sangha yang digelar  Ratu Ketamine menerusi broker Eric Fleming.

Rumah tertuduh seperti ‘emporium penjual dadah’’ dipenuhi bekalan pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, kokain dan ubat preskripsi seperti Xanax.

Plasencia menafikan satu pertuduhan bersubahat untuk mengedar ketamin, serta beberapa dakwaan  pertuduhan lain.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin  AS$100,000(RM445,345) dan diperintahkan untuk memaklumkan pesakitnya tentang pertuduhan yang dihadapinya. Plasencia diperintahkan untuk dibicarakan pada 8 Oktober ini. Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 120 tahun.

Sangha pula dinafikan ikat jamin selepas hakim dimaklumkan tentang gaya hidupnya yang kerap ke luar negara  termasuk perjalanan ke Tokyo hanya dua minggu selepas kematian Perry.

Dia diperintahkan untuk dibicarakan pada 15 Oktober in dan berdepan  hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah.

Defendan-defendan lain sama da telah mengaku bersalah atau bersetuju untuk berbuat demikian berhubung pertuduhan mereka. Masing-masing berdepan hukuman penjara antara 10 hingga 25 tahun. – AGENSI 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *