Pengundi Ayer Kuning Pilih Wakil Rakyat Esok

TAPAH, 25 April (Iteenews) — Sebanyak 31,315 pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat esok, selepas tamat 14 hari tempoh berkempen.

Sebanyak 19 pusat mengundi melibatkan 63 saluran akan dibuka bermula 8 pagi hingga 6 petang kecuali pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti yang ditutup lebih awal pada 4 petang.

Proses penjumlahan undi pula akan berlangsung di Dewan Merdeka di sini.

Ad Banner

Berdasarkan laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca cerah diramal pada sebelah pagi manakala ribut petir dijangka berlaku pada sebelah petang.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).

Mohamad Yusri akan mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lesong manakala Abd Muhaimin di SK Ayer Kuning dan Bawani di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pheng Lok.

Pada Selasa lepas, sebanyak 93.4 peratus daripada 500 anggota polis dan pasangan telah menunaikan tanggungjawab di dua pusat mengundi semasa proses pengundian awal PRK berkenaan.

Pada PRK itu, 601 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan 1,114 anggota polis akan bertugas bagi membantu melancarkan proses pengundian.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang.