ISTANBUL – Gempa bumi kuat bemagnitud 6.2 menggegarkan kota raya Turkiye, Istanbul, mendorong orang ramai bermalam di luar rumah, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Penduduk keluar ke kawasan lapang ketika gegaran susulan berlaku pada sebelah petang, manakala orang ramai bersedia untuk bermalam di luar rumah.
Gempa bumi terbesar berlaku pukul 12.49 tengah hari (waktu tempatan) semalam pada kedalaman 6.92 kilometer, kata perkhidmatan kecemasan Turkiye.
Gabenor Istanbul, Davut Gul berkata, sekurang-kurangnya 151 orang cedera selepas terjun dari tempat tinggi ketika gempa berlaku.
Bagaimanapun, menurutnya, tiada kematian dan kerosakan besar dilaporkan.
Pusat gempa terletak di perairan Laut Marmara, kawasan Silivri kira-kira 80 kilometer ke barat Istanbul.
Pihak berkuasa berkata, lebih 50 gegaran susulan direkodkan beberapa jam selepas gempa bumi pertama.
Orang ramai berkumpul di dataran utama di Besiktas sementara menunggu situasi kembali normal.
Seorang pelajar bernama Zeynep Akincioglu berkata, dia tidak boleh membawa keluarganya pulang semula ke rumah.
“Saya rasa tidak selamat untuk kembali, bangunan kami nampak tidak kukuh,” katanya.
Profesor ekonomi Universiti Koc, Selva Demiralp pula memberitahu BBC bahawa dia dan keluarganya ketakutan kerana berada di dalam blok pangsapuri yang tinggi ketika gempa bumi berlaku.
“Syukur kami selamat, nampaknya tiada kerosakan dalam unit bangunan (rumah mereka),” katanya. – AGENSI