KUALA KRAI – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang dia tunggang terlanggar cermin sisi sebuah kereta sebelum terjatuh ke atas jalan di Jalan Sungai Embak-Bukit Arang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa yang berusia 76 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Honda AFS 110 secara sendirian dari arah Bukit Arang menghala ke Sungai Embak.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal tersebut dipercayai terlanggar cermin sisi sebelah kanan sebuah kereta jenis Proton Gen 2 yang datang dari arah Sungai Embak menghala ke Sungai Durian.
“Kemalangan itu menyebabkan warga emas itu gagal mengawal motosikalnya sebelum jatuh. Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan lanjut mendapati, kemalangan dipercayai berpunca akibat kecuaian mangsa yang gagal mengawal motosikalnya sehingga terlanggar cermin sisi sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mazlan memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk dibedah siasat.
Menurutnya, semua pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati walaupun menggunakan jalan kampung yang keluasannya agak sempit.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – https://amiminerals.org/