ALOR SETAR – Kerajaan Kedah mengambil pendekatan yang lebih harmoni dan berhemah dalam menangani isu pembinaan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) tanpa kebenaran sah.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Kedah, Wong Chia Zhen berkata, pendekatan dilaksanakan tanpa mengambil tindakan keras, sebaliknya menawarkan ruang rundingan dan penyelesaian secara baik dan teratur.
“Kita sentiasa terbuka dan bersedia menjadi pemudah cara dalam menyelesaikan isu ini, khususnya antara pihak persatuan penganut dan pemilik tanah,”katanya dalam sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini hari ini.
Katanya, antara daerah yang paling banyak mengemukakan permohonan RIBI adalah daerah Kuala Muda dan Kulim.
“Tidak dinafikan terdapat juga beberapa RIBI yang tidak sah di kedua-dua daerah ini. Hal ini dalam pemantauan dan tindakan pihak kerajaan negeri untuk menyelaras dan menyelesaikan isu-isu berbangkit di kawasan berkenaan.
“Hal ini perlu dilakukan dengan teliti kerana ia melibatkan sensitiviti kaum dan undang-undang sedia ada. Usaha ini ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak,”ujarnya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga memberi penekanan kepada pembinaan RIBI baharu yang mematuhi sepenuhnya garis panduan serta peraturan yang telah ditetapkan bagi menjamin keseimbangan antara pembangunan fizikal dan keharmonian sosial di negeri ini.
“Sebagai bukti komitmen tersebut, dalam Mesyuarat Jawatankuasa RIBI pada 13 April lepas telah meluluskan lima permohonan tapak tanah kerajaan untuk RIBI. Ia melibatkan empat secara perizaban dan satu secara pemberimilikan di daerah Kuala Muda,”jelasnya.
Sementara itu, berhubung isu Kuil Sri Veerama Kaliaman di Kuarters JKR Tongkang Yard, katanya, proses pemindahan kuil tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat RIBI Negeri Kedah pada 13 April lalu.
“Berdasarkan hasil perbincangan, mesyuarat telah mencadangkan agar rumah ibadat tersebut dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai bagi menjamin keselesaan, keselamatan dan juga bagi memenuhi keperluan perancangan tanah lebih tersusun,”tambahnya. – https://amiminerals.org/