ALOR SETAR – Polis menahan reman seorang guru selama empat hari sejak Sabtu lalu bagi membantu siasatan kes gangguan seksual ke atas dua pelajarnya di sebuah sekolah swasta, di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, penahanan ke atas lelaki berusia 34 tahun itu dilakukan selepas pihaknya menerima dua laporan daripada mangsa berusia 15 dan 25 tahun. Laporan dibuat pada 18 dan 19 April lalu.
“Dalam laporan pertama pada 18 April, mangsa yang juga bekas pelajar mendakwa pernah diganggu secara seksual oleh suspek dengan cara menghantar pesanan berbaur lucah selain mengajak melakukan hubungan seks.
“Mangsa membuat laporan polis selepas mendapat tahu guru berkenaan turut melakukan perbuatan sama ke atas pelajar lain,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, dalam laporan kedua pada 19 April lalu, mangsa mendakwa menerima hantaran berbaur lucah daripada guru sama. Suspek juga meminta gambar bogel selain diajak melakukan seks.
Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(a)/11 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak Kanak 2017. – https://amiminerals.org/