TOKYO – Seorang warga Indonesia yang tinggal di Jepun terkejut apabila mendapati motosikal jenama Yamaha NMax yang baru dibeli dibuat di negara asalnya, lapor saluran berita Merdeka.com semalam.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @ayuugann, lelaki itu dilihat menunjukkan label ‘Made in Indonesia’ terpampang di ruang simpan barang motosikal tersebut.
Dia kemudian mengeluarkan buku panduan tertera tulisan ‘Printed in Indonesia’ beserta bulan dan tahun motosikal itu dikeluarkan.
“Beli motosikal jauh-jauh di Jepun, ternyata buatan Indonesia,” demikian menurut keterangan video tersebut.
Rakaman itu menjadi tular dan meraih lebih 405,200 tontonan. Rata-rata, netizen Indonesia bangga dan menganggap produk mereka mampu bersaing di pasaran global.
“Indonesia terbaik!” kata netizen.
“Sebenarnya banyak produk buatan Indonesia laris di luar tetapi di negara sendiri tak disokong penduduk tempatan,” kata netizen lain. – AGENSI