BEIJING – Seorang wanita China enggan meletakkan beg tangan jenama mewah miliknya di bawah tempat duduk seperti diminta oleh kru kabin, menyebabkan penerbangan yang dinaiki mengalami kelewatan sehingga sejam, lapor portal berita South China Morning Post semalam.
Wanita itu diusir dari pesawat tersebut selepas dia berkeras mahu meletakkan beg tangan tersebut di sebelahnya.
Klip video kejadian itu yang dirakam oleh penumpang lain, mendapat empat juta tontonan di platform Douyin dan mencetuskan perbincangan hangat.
Penumpang yang enggan dikenali itu berkata, wanita yang duduk di kelas ekonomi itu berkeras mahu meletakkan beg tangan jenama mewah di sebelahnya, bukannya di bawah tempat duduk di hadapannya.
Penerbangan pada 10 Ogos lalu dari lapangan terbang di bandar raya Chongqing, barat daya China itu sudah pun berlepas tetapi terpaksa berpatah balik ke terminal tempat ia mengambil penumpang.
Penumpang lain bertepuk tangan apabila polis mengiringi wanita itu keluar dari pesawat.
Sebilangan netizen mengkritik penumpang itu, manakala yang lain menulis bahawa pramugari itu mungkin terlalu ‘bersemangat’ dalam menjalankan tugasnya.
“Dia (wanita itu) lebih menghargai beg itu daripada nyawanya,” kata seorang netizen di Weibo. – AGENSI