PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa beliau belum membuat sebarang ketetapan sama ada akan mencabar Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan PKR Mei ini.
Bekas Setiausaha Agung PKR itu berkata, walaupun ada pihak yang menyebut mengenai perkara tersebut, namun tiada keputusan dibuat ke arah itu.
“Saya pun mengikuti juga beberapa pandangan orang yang mula menyebut tentang idea bahawa sampai masanya saya membuat pengumuman dan sebagainya. (Namun) saya masih lagi belum membuat apa-apa ketetapan ke arah itu (tanding jawatan Timbalan Presiden),” katanya menerusi sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.
Terdahulu media melaporkan, perkembangan pemilihan di 222 cabang PKR menyaksikan sekutu Rafizi tumbang mencetuskan persoalan menarik yang memungkinkan wujudnya pencabar Ahli Parlimen Pandan bagi jawatan Timbalan Presiden parti itu.
Antara pemimpin yang dikaitkan dengan Rafizi ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Kedua-duanya tewas dengan majoriti tipis.
Mengulas lanjut, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu berkata, tiada sesiapa yang boleh mempersoalkan kesetiaannya terhadap parti dengan ‘track record’ selama 14 tahun menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung.
“Orang tua macam saya ini lebih nostalgik bila cakap tentang sejarah parti, saya cuma mengajak semua pendokong parti supaya menganggap proses pemilihan ini satu proses demokrasi yang segar. Kalau ada tidak puas hati misalnya, saluran parti itu harus digunakan,” katanya. – https://amiminerals.org/