Ismail Sabri sambung beri keterangan Khamis ini

WhatsApp Image 2025 04 22 at 12.29.29 PM

Ismail Sabri.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menyambung memberi keterangan berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram Khamis ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, rakaman kali ini adalah berhubung dengan pengistiharaan harta yang dibuat beliau sebelum ini.

“Beliau (Ismail Sabri) diiangka dipanggil semula ke SPRM Khamis ini untuk teruskan rakaman percakapan.

“Seperti mana pernah saya sebutkan dahulu, kali ini berhubung dengan pengisytiharaan harta yang telah dibuat beliau kepada SPRM di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009,”katanya ringkas pada sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen CeIO kali ke-11 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Sebelum ini, sesi pertama rakaman percakapan Ahli Parlimen Bera itu telah selesai, yang memfokuskan kepada penemuan wang tunai berjumlah RM170 juta serta 16 kilogram jongkong emas di sebuah ‘safe house’.

Setakat ini, seramai 33 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

SPRM pada sidang media pada 3 Mac lalu, mendedahkan penemuan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta jongkong emas tulen seberat 16 kilogram yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

Siasatan dilakukan berhubung perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia yang dilakukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. – https://amiminerals.org/