Penyakit berbahaya demam sloth merebak ke Eropah

Sloth penyakit

Gambar fail tidak bertarikh menunjukkan seekor sloth. – Foto AFP

LONDON – Virus berbahaya yang menyebabkan penyakit dikenali sebagai ‘demam sloth’ merebak ke Eropah selepas membunuh sekurang-kurang dua orang di Brazil, lapor laman berita metro.co.uk.

Dinamakan virus Oropouche, kuman itu menjangkiti pelancong yang melawat rantau Amerika Selatan. Pakar-pakar kesihatan bimbang pe­nyakit itu mungkin sukar untuk dibendung.

Setakat ini, sebanyak 12 kes demam sloth telah dilaporkan di Sepanyol, lima di Itali dan dua lagi di Jerman.

Digelar sebagai ‘ancaman misteri’ dalam jurnal Lancet, hanya sedikit yang diketahui tentang penyakit misteri itu.

Kematian pertama yang diketahui akibat virus itu dilaporkan di Brazil pada bulan lalu, kedua-duanya melibatkan wanita berusia dalam lingkungan 20-an.

Pesakit yang masing-masing berumur 21 dan 24 tahun itu mengalami sakit perut akut, pendarahan dan tekanan darah rendah.

Apa yang diketahui di pe­ringkat awal ialah virus tersebut menjangkiti orang ramai selepas mereka digigit oleh serangga yang menghisap darah sloth, monyet atau burung.

Penyakit itu juga dikatakan menyerupai demam denggi.

Sloth ialah haiwan berbulu yang mana pergerakannya adalah terlalu perlahan.

Gejala lain demam sloth termasuk sakit kepala, suhu tinggi, sakit otot, kekakuan sendi, loya, muntah, selsema atau alah pada cahaya.

Wanita hamil mungkin mengalami keguguran atau masalah perkembangan dan kecacatan pada janin.

Pada masa ini tiada vaksin atau ubat untuk merawat virus itu. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *