BEIJING – Seorang wanita di wilayah Hunan mengundang perhatian pengguna media sosial kerana sanggup membayar hutang mendiang teman lelakinya sebanyak 600,000 yuan (RM362,000), lapor portal berita South China Morning Post (SCMP).
Wang Ting, 34, selain itu turut menjaga ibu dan bapa teman lelakinya, Zeng Zhi dan menyara mereka.
Zhi meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 2016. Wang kemudian mendapat tahu lelaki itu meninggalkan banyak hutang perniagaan termasuk gaji pekerja yang tertunggak.
Meskipun ramai kawan-kawan mendesak agar Ting meneruskan kehidupannya, wanita itu berpendapat bahawa dia bertanggungjawab melunaskan hutang Zhi untuk menjaga maruah mendiang.
“Jika saya tidak membayar hutangnya, siapa yang akan memberi makan kepada anak-anak dan ibu bapa pekerja Zhi?” katanya.
Tidak cukup dengan itu, Ting turut menyara ibu bapa Zhi dan bekerja di beberapa wilayah untuk mengumpul duit.
Dia membantu memulihkan masalah kesihatan mental yang dialami ibu Zhi akibat kematian lelaki itu serta menjaga bapa Zhi yang menghidap sakit jantung di hospital.
Ting malah membayar perlindungan pencen untuk ibu Zhi bagi memastikan wanita itu terjamin dari segi kewangan.
Pada 2020, Ting berkahwin dengan lelaki lain, namun hubungannya dengan ibu dan bapa Zhi tetap kukuh sehingga kini.
Wanita itu kini bergelar usahawan dan memiliki perniagaan dalam industri makanan serta pelancongan. – AGENSI