AMPANG – Empat individu ditahan polis selepas disyaki mencuri sebuah beg tangan mewah jenama ‘Coach’ dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Hulu Klang, di sini pada 6 April lalu.
Difahamkan, dalam kejadian pukul 11.13 malam itu, pengadu telah tertinggal beg tangannya di tandas stesen minyak tersebut sebelum menyedari ia telah hilang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pengadu kemudian kembali ke stesen minyak itu pada keesokan hari dan melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
“Menerusi rakaman CCTV, kelihatan seorang wanita telah keluar dari tandas sambil memegang beg tangan yang disyaki milik pengadu.
“Suspek kemudian telah masuk dalam sebuah kenderaan sebelum beredar dari tempat kejadian. Antara barangan di dalam beg tangan adalah dokumen dan barangan peribadi milik pengadu,”katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd. Azam berkata, tindakan lanjut, polis berjaya menahan seorang lelaki dan dua wanita tempatan di sebuah rumah, di sini pada 14 April lalu.
Menurutnya, susulan penahanan tersebut, seorang lagi wanita warga asing turut ditahan di sebuah kedai emas di Taman Melawati.
“Ujian air kencing terhadap semua suspek didapati negatif dadah.
“Suspek lelaki telah dituduh kelmarin di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan, manakala tiga suspek wanita dibebaskan daripada pertuduhan,”ujarnya. – https://amiminerals.org/