SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengenal pasti sekolah yang bakal berdepan masalah lalu lintas sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal berlangsung pada Mei dan Oktober depan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan mempertimbangkan pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi sekolah-sekolah terbabit sekali gus memastikan kelancaran proses pembelajaran sepanjang tempoh terbabit.
“Memang ada perbincangan dan kita sedang mengenal pasti sekolah-sekolah yang terlibat dan mahu memastikan Sidang Kemuncak ASEAN turut berjalan lancar. Itu antara perkara-perkara yang dibincangkan juga untuk mengelakkan kesesakan jalan raya.
“Jadi, memang tidak ada masalah malah kita bersedia untuk proses tersebut selain turut memberikan komitmen sepenuhnya berhubung pelaksanaan PdPR ini,” katanya selepas Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang Pada Pakaian Seragam Murid di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan cadangan mengenai kerja dari rumah dan pelaksanaan PdPR semasa Sidang Kemuncak ASEAN pada Mei dan Oktober depan akan dibawa ke perhatian Kabinet.
Selain itu, cadangan berkenaan turut mendapat sokongan Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres).
Ia susulan kekangan yang dihadapi oleh rakyat, khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, yang terkesan akibat penutupan jalan semasa lawatan negara Presiden China Xi Jinping, ke Malaysia baru-baru ini. -https://amiminerals.org/