Ahmad Zahid Kesal Kempen PRK Ayer Kuning Terus Sentuh Isu Sensitif

88b02d2293393f01babd81cc4e34c3416804b50486274Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua, kiri) pada Wacana Inspirasi bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong hari ini. Turut sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (kiri) dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (kanan).

LENGGONG, 20 April (Iteenews) — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kesal dengan kaedah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang masih menyentuh isu-isu sensitif, termasuk isu kaum, agama, dan institusi Diraja (3R).

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata kempen seharusnya menumpukan kepada kelebihan parti dan calon, bukan merendah-rendahkan pihak lain.

"Saya melihat momentum kempen mula memuncak, namun saya sangat tidak berkenan dengan kaedah kempen yang dilakukan kerana ia masih menyentuh perkara yang tidak sepatutnya disentuh, seperti masalah peribadi dan isu yang menjadi titik bengik," katanya mengulas perkembangan kempen PRK DUN Ayer Kuning.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Program Wacana Aspirasi bersama Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di sini hari ini.

Ditanya mengenai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin dari UMNO yang menyertai parti PAS, Ahmad Zahid berpandangan ia bukan soal ideologi, tetapi lebih kepada isu peribadi.

"Sewaktu penamaan calon, saya bertemu dengan beliau bersama-sama mengiringi calon BN, tetapi seminggu kemudiannya, beliau ikut suami. Mungkin itu adalah langkah terbaik untuk beliau menuju ke syurga," katanya.

Wan Norashikin yang ditemani suaminya, Setiausaha PAS Kawasan TapahMuhammad Noor Farid Zainal, menyerahkan borang keahlian kepada Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang sempena Ceramah Mega PRK Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat, Tapah, malam tadi.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April, manakala pengundian awal pada 22 April.