SINTOK – Seorang penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) maut selepas dilanggar sebuah bas dalam kejadian di hadapan perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana, Kampus UUM Sintok, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 8.45 pagi itu, mangsa, Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, mengalami kecederaan parah pada badan.
Gadis yang berasal dari Johor itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 petang tadi ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Ketika kejadian, pelajar semester empat Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan itu sedang menunggu giliran untuk menaiki bas sebelum kenderaan tersebut dilanggar sebuah bas lain.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila bas pertama sedang berhenti di perhentian itu untuk mengambil penumpang.
“Kenderaan itu tiba-tiba dilanggar dari belakang oleh sebuah lagi bas.
“Impak pelanggaran itu menyebabkan bas di hadapan menggelongsor ke hadapan melanggar besi penghadang jalan dan menghimpit mangsa yang sedang menunggu giliran untuk menaiki bas pertama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua pemandu bas berusia 32 dan 37 tahun tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap dan mengarahkan Jabatan Keselamatan UUM menghubungi polis bagi menyiasat insiden kemalangan tersebut.
“Polis sedang melakukan siasatan menyeluruh berhubung kemalangan itu dan UUM akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan siasatan penuh yang akan diterima,” katanya. – https://amiminerals.org/