PASIR MAS, 20April (Iteenews) — Penduduk dan peniaga di Rantau Panjang menyuarakan harapan agar projek tebatan banjir di kawasan itu disegerakanmemandangkan risiko banjir yang berulang saban tahun memberi implikasi besar kepada kesejahteraan sosial dan kestabilan ekonomi setempat.
Mohd Aiman Muhamad Yusof, 22, dari Kampung Cabang Bagus di sini, berkata projek itu perlu menjadi agenda utama di peringkat negeri dan Persekutuan, khususnya dalam konteks ketahanan iklim dan pengurusan bencana.
“Kawasan ini hampir setiap tahun terjejas apabila tiba musim tengkujuh. Pendekatan penyelesaian jangka panjang seperti projek tebatan banjir amat diperlukan untuk mengurangkan kerosakan aset awam dan harta benda penduduk,” katanya kepada Iteenews baru-baru ini.
Mohd Aiman menegaskan bahawa penyelarasan antara agensi Persekutuan dan negeri perlu diberi keutamaan agar perancangan infrastruktur tidak tergendala akibat perbezaan dasar atau keutamaan politik.
Mengulas lanjut, diaberkata keputusan tersebut amat bertepatan kerana pelaksanaan segera bukan sahaja dapat melindungi nyawa dan harta benda malah mengurangkan kebergantungan terhadap dana bantuan pascabencana setiap tahun.
“Jika projek ini direalisasikan, perbelanjaan kerajaan boleh dialihkan kepada sektor lain yang memberi kesan pembangunan lebih meluas,” katanya.
Sementara itu, Darul Hisham Mat Noor, 52, dariKampung Gual Mesadi sini, berkata projek tebatan banjir perlu disandarkan kepada unjuran risiko jangka panjang dan pertumbuhan kawasan setempat.
“Setahun tiga hingga empat kali kami berdepan dengan paras air yang tinggi. Ia bukan lagi bencana luar jangka, sebaliknya sudah menjadi rutin tahunan yang perlu ditangani secara sistematik,” katanya.
Darul Hisham berkata ketidaktentuan akibat banjir juga memberi kesan kepada kepercayaan pelabur dan menyukarkan perancangan pembangunan jangka panjang di kawasan sempadan itu.