PETALING JAYA – Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari mengadakan Lawatan Kerja ke Kawasan Operasi Sempadan Sarawak-Kalimantan sekali gus melihat keadaan kehidupan seharian dan menyantuni warga Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bertugas di perbatasan.
Lawatan kerja tersebut berlangsung selama dua hari bermula semalam dan hari ini melibatkan Pos Pa’Dalih, Pos Gabungan Malaysia-Indonesia Kem JPG Ba’Kelalan dan Pos Bario.
Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam kenyataan memaklumkan, semasa lawatan berkenaan, beliau telah menerima taklimat operasi termasuk status instalasi markas dan kerja-kerja penyelenggaraan yang sedang berlangsung di kawasan operasi.
Melalui lawatan ini, Timbalan Menteri Pertahanan diberikan pendedahan dan gambaran jelas berkenaan keadaan perjalanan operasi di sempadan Malaysia-Indonesia dalam Operasi Jagakawan.
“Lawatan ini adalah merupakan salah satu aktiviti di bawah Tonggak Pertama Strategi Pertahanan Negara, iaitu Cegah Rintang Berpadu, seperti digariskan di dalam Kertas Putih Pertahanan 2020 – 2030 (KPP).
“Strategi ini bertujuan melindungi kepentingan negara, terutamanya mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah dengan menghindar daripada sebarang bentuk
pencerobohan dan konflik,”menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut Mindef, pertahanan negara dilaksanakan sepanjang kawasan lapisan berpadu meliputi domain darat, maritim, udara dan siber elektromagnetik.
Dalam itu, Adly turut menghadiri majlis ramah mesra bersama dengan agensi keselamatan setempat dan penduduk kampung berdekatan di sekitar Daerah Bario, di samping menyantuni dua keluarga Veteran ATM menerusi Program Peduli Veteran Madani (PVM) di Daerah Baram.
Beliau juga menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada balu veteran ATM, memberi bantuan makanan ikan kepada seorang usahawan veteran ATM yang mengusahakan projek menternak ikan air tawar dan sumbangan keperluan harian kepada kedua-dua mereka.
Program PVM Bario dilaksanakan bagi menyantuni veteran ATM walau di mana golongan ini berada dalam usaha memastikan bantuan yang disalurkan adalah
menepati keperluan selain menjadikan platform ini sebagai medium untuk menyampaikan dasar, maklumat terkini dan bantuan semasa kepada veteran ATM.
Lawatan kerja itu turut dihadiri oleh Panglima 9 Briged, Brigedier Jeneral Jafri Sulaiman, Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Sophian Isswandy Ismail dan Pengarah JHEV ATM Cawangan Sarawak, Mejar Steven Kadir. – https://amiminerals.org/