Sembilan asnaf penerima pertama tajaan umrah ikhlas.com

asnaf umrah

Ikhlas (dua dari kanan) bergambar dengan penerima tajaan menunaikan umrah menerusi Kempen Umrah 1,000 Asnaf oleh ikhlas.com – Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

PETALING JAYA – Seramai sembilan asnaf dipilih menerima tajaan umrah daripada Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn. Bhd. (ikhlas.com) menerusi Kempen Umrah 1,000 Asnaf.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, pihaknya menerima sebanyak 800 permohonan sejak kempen itu dilancarkan pada 18 Mac lalu.

“Penerbangan pertama untuk asnaf yang terpilih dijangka pada 20 Julai ini. Sasaran kami seramai 250 asnaf dibawa menunaikan umrah menjelang Oktober ini.

“Penerbangan 1,000 asnaf yang terpilih dilakukan secara berperingkat. Kempen akan berjalan dalam tempoh setahun setengah,”katanya pada sidang akhbar sempena ‘Media roundtable: The Search for Umrah 1,000 Asnaf’ di sini hari ini.

Ikhlas.com melancarkan Kempen Umrah 1,000 Asnaf bersempena ulang tahun kelima syarikat itu.

Melalui kempen itu, ikhlas.com akan memilih seramai 1,000 asnaf dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak untuk ditaja menunaikan umrah.

Sebuah kereta mewah jenis Mercedes S124300TE klasik 1987 digelar ‘Qashwa’ sempena nama unta kegemaran Nabi Muhammad akan digunakan ikhlas.com menjelajah bagi mencari calon yang layak.

“Orang ramai boleh juga mencalonkan diri mereka atau asnaf lain dengan mengikuti Instagram, Facebook & TikTok ikhlas.com,”katanya. – https://amiminerals.org/