BANGKOK – Seorang lelaki berikrar mahu menyaman polis kerana silap menangkapnya sehingga dia terpaksa merengkok di dalam penjara selama lima hari, lapor portal berita Thaiger hari ini.
Phuris Saitong dibebaskan dari sebuah penjara di Nakhon Si Thammarat kelmarin.
Dia dibebaskan selepas polis mengaku menangkap orang yang salah kerana cubaan membunuh.
“Saya didakwa dengan jenayah yang saya tidak lakukan dan saya mahukan keadilan untuk apa yang saya lalui,”kata Phuris.
Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan pada 11 April lalu berhubung insiden tembakan pada 8 April lalu di mukim Pho Sadet, yang menyebabkan dua remaja cedera.
“Kami berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) daripada majlis perbandaran untuk membuktikan dia tidak bersalah,” kata bapa saudaranya, Boonserm Thongsong.
Rakaman CCTV memaparkan seorang lelaki yang jauh lebih kecil, lebih kurus, jelas bukan Phuris dan mempunyai berat lebih 130 kilogram serta tinggi 180 sentimeter berada di lokasi kejadian. – AGENSI