BANGKOK – Polis Thailand menggunakan bantuan robot yang dilengkapi perisian kepintaran buatan (AI) untuk mengawal ketenteraman di Bangkok, lapor portal berita VNExpress semalam.
Robot digunakan semasa acara di Jalan Tonson itu dilengkapi kamera 360 darjah dan cip AI untuk memproses imej yang dirakamkan semasa Pesta Songkran yang berakhir dalam minggu ini.
Digelar sebagai robot polis ‘cyborg’ 1.0’, ia juga memperoleh data daripada televisyen litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan acara dan pengawasan dron untuk mengesan individu berisiko tinggi terhadap keselamatan.
Ia memberi amaran kepada pegawai-pegawai polis tentang sebarang tingkah laku yang agresif atau mengganggu, kata Polis Diraja Thailand dalam catatan di Facebook.
Dibangunkan oleh polis tempatan dan agensi kerajaan, robot itu berpakaian seragam rasmi yang sama seperti rakan manusia sejawatannya.
Ia juga dilengkapi dengan keupayaan untuk mengesan senjata termasuk kayu, pisau dan pedang.- AGENSI