JAKARTA – Seorang petani sanggup mencuri seekor lembu kerana pemilik haiwan berkenaan tidak membayar hutang kepadanya dalam kejadian di Gorontalo, Sulawesi, lapor portal berita Detikcom hari ini.
Petani dikenali sebagai SH, 44, itu ditangkap polis di rumahnya selepas pemilik haiwan tersebut membuat laporan polis tentang kehilangan lembunya pada waktu malam.
Suspek mengaku menjual lembu yang dicuri pada harga 12.5 juta rupiah (RM3,300).
“Motif kecurian adalah kerana dendam selepas mangsa gagal membayar wang pinjaman berjumlah 3.3 juta rupiah (RM863),” kata polis.
Polis mendapati suspek menyembunyikan haiwan itu di kebun tebu tidak jauh dari lokasi kejadian.
“Suspek kemudian meminjam kenderaan penduduk untuk mengangkut lembu tersebut,” kata Penolong Ketua Polis Boalemo, Komisioner Afandi Nurkamiden.
Menurutnya, jika didapati bersalah mencuri lembu, suspek boleh dihukum penjara tujuh tahun. – AGENSI