Oleh Nabilah Saleh
KUALA LUMPUR, 19 April (Iteenews) — Isu Palestin bukan hanya menyentuh dasar luar Malaysia, malah merupakan isu kemanusiaan, moral dan prinsip yang menyatukan seluruh rakyat negara ini tanpa mengira latar belakang, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
“Parlimen Malaysia akan terus menjadi suara lantang di peringkat antarabangsa dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang telah lama dizalimi,” kata Johari menerusi satu kenyataan memetik ucapannya pada Mesyuarat Kumpulan Parlimen Menyokong Palestin yang berlangsung di Istanbul, Turkiye baru-baru ini.
Mesyuarat itu menghimpunkan Speaker dan Presiden Parlimen dari seluruh dunia dalam semangat solidariti memperjuangkan hak rakyat Palestin, menzahirkan kebersamaan komuniti antarabangsa dalam menghadapi krisis kemanusiaan yang berlanjutan.
Dalam ucapannya, Johari menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara.
Beliau turut menyuarakan kekesalan terhadap pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh Israel sejak 18 Mac lalu, meskipun ia dimeterai pada 15 Januari dengan pengantaraan Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat.
<!––>
“Sokongan Malaysia bukan bersifat simbolik atau bermusim, tetapi lahir daripada komitmen moral dan dasar luar negara yang berteraskan keadilan sejagat.
“Serangan berterusan terhadap Gaza adalah jenayah perang yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva 1949,” katanya sambil menyatakan bahawa lebih 50,000 rakyat Palestin terkorban sejak Oktober 2023, majoritinya wanita dan kanak-kanak.
Johari turut menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk memindahkan atau menempatkan semula rakyat Palestin secara paksa.