Oleh Noor Bakhtiar Ahmad
KUALA LUMPUR, April 19(Iteenews) — Bermula dengan sebuah cita-cita kecil di tanah air, BeDaie, sebuah platform pengajian Islamik dalam talian hasil inisiatif anak muda Malaysia, kini menapak gagah di pentas antarabangsa apabila berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat.
Platform itu bukan sekadar menawarkan bahan bacaan Islamik atau kelas pengajian secara maya.
Ia membawa misi yang jauh lebih besar iaitu menyebarkan ilmu dan cahaya Islam ke seluruh dunia, walaupun bermula dari sebuah pejabat sederhana di Kota Bharu, Kelantan.
Di sebalik usaha itu ialah sosok bernama Muhammad Amar Mirza Ab Kadir Jailani, 31, yang percaya bahawa ilmu agama tidak harus terbatas kepada sempadan geografi.
“Kami mula menjual buku-buku Islamik di Amerika Syarikat sejak Mac lalu. Walaupun jumlah komuniti Muslim di sana hanya sekitar empat hingga lima juta orang, semangat mereka untuk menuntut ilmu sangat luar biasa.
<!––>
“Mereka benar-benar dahagakan pengisian rohani,” katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Iteenews, baru-baru ini.
Bagi memenuhi keperluan itu, Muhammad Amar dan pasukannya menterjemah 20 buku terbitan asal Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris, lalu memulakan langkah berani di New York, Pennsylvania dan New Jersey.
“Alhamdulillah, sambutan yang kami terima sangat menggalakkan. Buku-buku BeDaie telah diedarkan ke 50 kedai buku sebagai permulaan dan kami menyasarkan untuk menjangkau lebih banyak lokasi dalam masa terdekat,” katanya.