Wanita hamil lari 200 meter elak dicekup imigresen

WhatsApp Image 2025 04 18 at 10.16.59 73c19fda

Wanita warga asing yang sarat mengandung mendapatkan bantuan perubatan selepas berlari hampir 200m selepas diserbu JIM dalam Operasi Bersepadu di Medan Imbi, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga asing sanggup berlari berkasut tumit tinggi kira-kira 200 meter walaupun sarat hamil enam bulan gara-gara tidak mahu dicekup penguat kuasa Jabatan Imigresen (JIM), di Medan Imbi, di sini, malam tadi.

Sejurus ditahan, wanita berusia 38 yang didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu secara tiba-tiba pengsan sebelum dikejutkan anggota penguat kuasa dan diberikan bantuan paramedik.

Siasatan mendapati wanita itu telah menetap selama tiga bulan di negara ini kerana suaminya bekerja sebagai jurutera di Pelabuhan Klang.

“Suami baru balik India semalam, mahu ambil mak dan anak-anak lain bawa datang sini (Malaysia).

“Saya lari sebab tengok yang lain lari. Saya panik, pasport ada, tapi tak ada bawa, tertinggal di rumah,”katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Selain wanita tersebut, terdapat juga beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) lain cuba meloloskan diri namun gagal sehingga mengalami kecederaan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bersepadu itu melibatkan seramai 185 anggota termasuk pegawai JIM Putrajaya dan Negeri Sembilan serta agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Zakaria berkata seramai 749 warga asing diperiksa dalam operasi bersepadu selama dua jam bermula pukul 7.30 malam.

Ujarnya, daripada 749 warga asing, seramai 506 daripadanya disyaki melakukan pelanggaran undang-undang imigresen.

“Warga Bangladesh paling ramai iaitu 165 diikuti dengan Nepal (142), Indonesia (109), Myanmar (46), India (25) dan Sri Lanka (19). Kesemua yang ditahan berusia di antara 25 hingga 65 tahun.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan melanggar akta imigresen,”katanya dalam sidang akhbar selepas operasi tersebut, malam tadi.

WhatsApp Image 2025 04 18 at 10.25.14 b4a4a9c0
Zakaria ketika sidang akhbar pada Operasi Bersepadu dan Penguatkuasaan terhadap warga asing di sekitar kawasan Medan Imbi, Kuala Lumpur, malam tadi. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/KOSMO!

Pada April tahun lalu, Kosmo! pernah melaporkan Medan Imbi atau lebih dikenali sebagai ‘Mini Dhaka’ itu kembali meriah dengan kehadiran warga asing apabila menjadikannya sebagai tempat pertemuan dan berkumpul terutamanya pada hujung minggu.

Walaupun flat empat tingkat itu pernah digempur sebelum ini, namun warga Bangladesh dan Myanmar kelihatan bersidai di kaki lima bangunan tersebut hingga membuatkan warga tempatan risau untuk berjalan di situ.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, hasil pemeriksaan di enam blok bangunan flat empat tingkat itu mendapati kebanyakan PATI yang ditahan menyewa sebuah bilik dengan lingkungan harga RM600 sebulan.

Katanya, meskipun pernah digempur JIM pada Februari baru-baru ini, PATI seakan tidak serik malah semakin berani mendiami kawasan flat terbabit.

“Kebanyakan warga asing menyewa rumah atau bilik di sini namun bekerja di tempat lain. Mereka agaknya selesa sebab komuniti mereka memang di sini. Satu bilik mereka duduk lima ke enam orang.

“Satu rumah pula ada lima bilik, jadi bayangkan berapa ramai dimuatkan dalam itu. Ada yang sampai tambah bilik-bilik kecil supaya dapat sewa ramai-ramai,”ujarnya.

WhatsApp Image 2025 04 18 at 10.25.14 ad36d508
Warga asing yang ditahan dalam serbuan Operasi Bersepadu JIM di Medan Imbi, Kuala Lumpur, malam tadi.

Zakaria berkata, operasi penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan serta mengejut untuk meningkatkan pemantauan, pemeriksaan serta pelaporan.

Beliau berkata, ia bagi memastikan pematuhan undang-undang oleh majikan dan pekerja asing ke arah memperkukuhkan sistem penguatkuasaan imigresen negara.- https://amiminerals.org/