Gambar File Iteenews
KUALA LUMPUR, April 18 (Iteenews) — Peningkatan populasi warga emas di Malaysia telah membawa kepada perubahan demografi yang mencetuskan pelbagai cabaran baharu dalam sistem kesihatan awam.
Beberapa bulan kebelakangan ini, tumpuan terhadap penularan wabak influenza dan kesannya terhadap tokoh-tokoh terkenal telah mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai jangkitan pernafasan.
Antara jangkitan ialah virus sinsitial respiratori (RSV) iaitu virus yang menyebabkan jangkitan paru-paru dan saluran pernafasan, muncul sebagai ancaman namun sering dipandang remeh khususnya dalam kalangan warga emas.
GlaxoSmithKline Malaysia (GSK) dalam kenyataan hari ini menyatakan bahawa RSV adalah virusbiasa dan sangat mudah berjangkit, yang boleh membawa kepada komplikasi kesihatan serius termasuk penyakit saluran pernafasan (LRTD), radang paru-paru dan kematian.
“Ia adalah virus berjangkit biasa, yang menyerang paru-paru dan saluran pernafasan. Sama seperti influenza, RSV merebak melalui titisan memasuki tubuh melalui mata, hidung atau mulut. Virus ini boleh kekal di permukaan keras selama beberapa jam,” menurut kenyataan itu.
Walaupun jangkitan RSV boleh melibatkan gejala ringan seperti hidung berair, batuk dan demam yang lazimnya pulih dalam tempoh satu hingga dua minggu, jangkitan virus ini boleh menjadi serius dan mengancam nyawa untuk kumpulan tertentu kerana mereka berisiko mengalami komplikasi seperti radang paru-paru, kesukaran bernafas dan paras oksigen rendah.
Menurut kenyataan itu, RSV kini semakin dikenali sebagai punca utama penyakit pernafasan akut, bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak tetapi juga membabitkan warga emas, terutamanya bagi mereka yang berusia 65 tahun ke atas dan mempunyai masalah kesihatan lain.
“Golongan dewasa yang menghidap kegagalan jantung kongestif berisiko lapan kali ganda dimasukkan ke hospital akibat jangkitan RSV. RSV juga boleh memburukkan gejala penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD). Pesakit asma berisiko sepuluh kali ganda lebih tinggi untuk dimasukkan ke hospital berbanding mereka yang tidak menghidapnya,” menurut kenyataan itu.
Menurut GSK, RSV berpotensi memberi kesan kepada pelbagai aspek kehidupan individu termasuk aktiviti sosial, produktiviti, hubungan, fungsi fizikal dan kognitif serta gangguan tidur.