KAMPAR – Seorang lelaki berusia 57 tahun dari Kg. Nyior, Batu 19 1/2, di sini maut setelah tergelincir ke dalam perigi sedalam tiga meter ketika sedang mengambil air, pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.52 pagi.
Sejurus menerima panggilan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba di sana pada pukul 8.02 pagi.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati seorang mangsa berbangsa Melayu berumur 57 tahun telah terjatuh ke dalam perigi sedalam tiga meter.
“Ketua operasi menerima maklumat dari anak lelaki tersebut bahawa mangsa telah jatuh pada waktu subuh tadi,”katanya di sini hari ini.
Sabarodzi berkata, ketua operasi mengarahkan anggota menaikkan mangsa menggunakan sistem tali (1:2) dan mangsa telah berjaya dibawa naik.
Katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – https://amiminerals.org/