PETALING JAYA – Gabungan suara emas Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Aina Abdul mengangkat martabat seni tanah air apabila dijemput membuat persembahan pada majlis makan malam sempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, malam tadi.
Kedua-dua penyanyi papan atas itu tampil memukau di hadapan delegasi kenamaan negara luar dengan persembahan dua lagu istimewa masing-masing.
Aina memilih lagu ikonik P. Ramlee, Tunggu Sekejap dan karya Mandarin Wo Yao Ni De Ai sementelah Biduanita Negara pula mengalunkan lagu tradisional Cindai serta The Moon Represents My Heart nyanyian asal Teresa Teng.
Majlis penuh berprestij itu berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Semakan menerusi ruangan komen mendapati rata-rata netizen dan peminat meluahkan rasa bangga atas penghormatan yang diberikan kepada kedua-dua penyanyi hebat tanah air tersebut.
“Meremang bulu roma dengar suara Tokti nyanyi lagu Mandarin. Suara dia memang luar biasa, lemak merdu, cukup rasa,” komen netizen.
“Siti merdu, Aina pun tak kurang hebat. Versatil dan berani bawakan lagu klasik dengan gaya tersendiri, bangga sangat dua diva ini dijemput buat persembahan,” komen seorang pengguna media sosial.
“Bangga tengok artis kita diraikan dalam majlis besar begini,” tulis peminat.
Terdahulu, Aina, 31, turut berkongsi keterujaannya apabila memuat naik rakaman raptai serta klip lirik lagu Mandarin dinyanyikan dalam Instagram Story.
Majlis berkenaan turut dihadiri pemimpin utama negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kabinet. – https://amiminerals.org/