JOHOR BAHRU – Seorang pekerja bengkel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan termasuk memandu kereta dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang penghantar makanan, Ahad lalu.
Tertuduh, Kok Zi Kang, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Mengikut kertas pertuduhan lelaki itu didakwa memandu kereta BMW 530i dibawah pengaruh alkohol melebihi 26 miligram (mg) dalam 100 milimeter (ml) darah melebihi had yang dibenarkan sehingga menyebabkan kematian Mohd. Taufik Ariff Sariff, 37.
Perbuatan itu dilakukan di Kilometer 16, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi berhampiran Taman Desa Jaya di sini pada pukul 2.10 pagi, 13 April lalu.
Zi Kang turut berdepan pertuduhan mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan kepunyaan kenderaan yang dipandu.
Kesalahan itu dilakukan pada hari yang sama kira-kira pukul 4.30 pagi di Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Αkta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 44(1)(6) 1987 (pindaan 2020) dan Seksyen 108 (3) (f) akta yang sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Tasnim Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Chuah Shyue Chien.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan serta pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai selain menetapkan 19 Mei ini sebagai sebutan semula kes.
Terdahulu, pada Ahad lalu, Kosmo! melaporkan seorang ‘rider’ maut dirempuh pemandu BMW ketika membantu lelaki Myanmar yang terlibat kemalangan di Kilometer 16, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi berhampiran Taman Desa Jaya di sini.
Mohd. Taufik Ariff yang baharu mendirikan rumah tangga September lalu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Isteri mangsa, Suhaidah Yusof, 40, berkata, sebelum kejadian dia dan suaminya dalam perjalanan pulang dari Desa Cemerlang selepas keluar makan bersama rakan-rakan ke rumah mereka di Bakar Batu di sini.
Mangsa, bagaimanapun turun dari kenderaan untuk membantu mangsa nahas sebelum dirempuh laju kereta BMW yang dipandu lelaki dibawah pengaruh alkohol. – https://amiminerals.org/