Dua remaja maut bertembung ketika aksi ‘wheelie’

kemalangan maut wheelie remaja motosikal

Kemalangan maut melibatkan dua remaja di Jalan Elmina Business Park, Aman Putri, Sungai Buloh semalam.

SUNGAI BULOH – Dua remaja lelaki berusia 13 tahun maut selepas kenderaan mereka bertembung ketika melakukan aksi ‘wheelie’ di Jalan Elmina Business Park, Aman Putri, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 11.20 malam tadi.

“Kemalangan berlaku ketika kedua-dua motosikal itu dari arah bertentangan melakukan aksi ‘wheelie’ dan akhirnya berlanggar secara berdepan.

“Kedua-dua penunggang yang juga rakan disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Hafiz berkata, berlaku peningkatan drastik kes kemalangan maut kerana aktiviti berlumba atau menguji kelajuan sepanjang lapan bulan tahun ini sejak Januari lalu.

“Bagi Januari hingga Ogos ini, sebanyak tujuh kertas siasatan dibuka membabitkan 11 penunggang motosikal maut di daerah ini. Bagi 2023 hanya tiga kertas siasatan dibuka membabitkan tiga kematian penunggang motosikal.

“Peningkatan ini amat membimbangkan,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

“Denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan,” ujarnya.

Penunggang motosikal bawah umur dan penjaga boleh dituduh di bawah Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan memandu bawah umur dan membenarkan orang lain tidak memiliki lesen memandu kenderaan.

Jika disabit kesalahan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. – Iteenews.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *