PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) menghormati pendirian UMNO yang memutuskan untuk tidak menjemput pemimpin utama Kerajaan Perpaduan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 minggu depan.
Pengarah komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil berkata, ia tidak menjadi masalah buat pemimpin utama dalam Kerajaan Perpaduan kerana masing-masing telah bertemu setiap hari.
“Tiada masalah (kerana tidak dijemput) sebab kita bertemu setiap hari.
“Jadi, tiada sebarang isu dan kita hormat sebarang keputusan yang dibuat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Oleh Rakan Strategik HKHM 2024 di sini, hari ini.
Semalam, UMNO memutuskan untuk tidak menjemput pemimpin utama dalam Kerajaan Perpaduan melainkan hanya pemimpin daripada parti komponen Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, UMNO mengambil pendekatan berbeza berbanding pada perhimpunan tahun lalu, dengan mengutamakan keluarga besar UMNO. – Iteenews