KUANTAN – Seramai tiga lelaki melecur dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah Lorong Alor Akar 5 di sini malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.24 malam itu menyaksikan sebuah rumah dan dua kenderaan terbakar 100 peratus.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, bomba yang tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 10.32 malam mendapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal.
“Seorang lelaki dewasa didapati melecur di bahagian tangan dan kaki, seorang lelaki dewasa cedera dan melecur di bahagian badan manakala seorang lagi lelaki dewasa melecur di bahagian kaki.
“Mangsa telah dibawa ke hospital oleh Ambulans St. John bagi mendapatkan rawatan lanjut,”katanya di sini hari ini.
Tambahnya, kebakaran turut memusnahkan sebuah kenderaan jenis Honda Stream dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil.
Dalam pada itu katanya, seramai 28 anggota bomba daripada Balai Bomba Kuantan, Balai Bomba Indera Mahkota dan Balai Bomba Kuantan terlibat dalam operasi ini.
Katanya, pasukan bomba melakukan operasi pemadaman dengan menggunakan dua aliran hos dan dua hos air tangki pam jentera bomba dan air pili bomba. – https://amiminerals.org/