Lebaran Penuh Makna: Tirai Besi Tidak Halang Kasih Seorang Bapa

Seorang bapa menzahirkan rasa syukur dalam tangisan sebak apabila dapat memeluk kelima-lima anaknya selepas lebih setahun terpisah akibat menjalani hukuman di Pusat Koreksional Batu Gajah. Momen mengharukan itu berlaku dalam Program Outreach Korektif sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di pusat berkenaan, hari ini.Kamarul (bukan nama sebenar), 35, merupakan antara beberapa prospek yang terpilih untuk bertemu keluarga menerusi program khas tersebut. — fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Razif Rosli

BATU GAJAH, 16 April (Iteenews) — Tiada yang lebih menggembirakan seorang bapa yang juga seorang tahanan darpada peluang memeluk lima anaknya setelah lebih setahun terpisah kerana menjalani hukuman di Pusat Koreksional Batu Gajah, di sini.

Penzahiran penuh emosi dan sebak itu dilalui Kamarul (bukan nama sebenar), 35, selepas terpilih bersama beberapa prospek lain bertemu keluarga menerusi program Outreach Korektif Aidilfitri pusat itu sempena sambutan Aidilfitri.

Ad Banner

Tidak mengetahui tentang kehadiran kesemua anaknya yang kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kamarul terus berlari menyambut pelukan mereka sejuru melihat kelibat kesemua anaknya itu.

Menurut Kamarul, pertemuan itu sangat menginsafkan dirinya apatah lagi melihat kesanggupan pusat koreksional membuat permohonan kepada JKM demi membawa kesemua anaknya datang beraya bersama.

“Perasaan sedih dan gembira kerana buat kali pertama dapat memeluk anak-anak saya sejak setahun lima bulan saya dimasukkan ke sini malah saya dimaklumkan mereka (anak-anak) teruja nak datang melawat saya.

"Saya sudah lama menanti untuk bertemu anak-anak dan memeluk mereka untuk melepaskan rindu, hanya tuhan sahaja yang tahu betapa rindunya hati ini terkenangkan mereka," katanya ketika ditemui Iteenews di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Pusat Koreksional Batu Gajah, Penolong Komisioner Penjara S Tanabal.

Kamarul yang mempunyai tiga anak lelaki dan dua perempuan berusia tiga hingga 13 tahun menjalani hukuman tiga tahun atas kesalahan pengabaian kanak-kanak sebelum ini.