PRK Ayer Kuning BN Sasar Pengundi Muda Dan Luar Kawasan

ddf795f413debb0e5038fe05881f74e5637987801bd53

TAPAH, 15 April (Iteenews) — Barisan Nasional (BN) giat meraih sokongan dalam kalangan pengundi muda dan luar kawasan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, dengan pimpinan parti mengakui kadar keluar mengundi bakal menjadi faktor penentu dalam saingan yang semakin mendapat perhatian ramai.

Bercakap semasa sesi tinjauan mesra bersama calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir di Pasar Besar Ayer Kuning hari ini, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon berkata cabaran utama adalah untuk meyakinkan pengundi, khususnya masyarakat Cina yang tinggal di luar kawasan, agar pulang dan menunaikan tanggungjawab mengundi pada hari pengundian.

“Jentera pilihan raya kami telah digerakkan sepenuhnya, namun tugas sebenar ialah memastikan penyokong kami, terutamanya pengundi Cina luar kawasan, pulang untuk mengundi,” kata Dr Mah yang juga Pengerusi MCA Perak.

Beliau menjelaskan bahawa sebahagian besar daripada pengundi luar kawasan itu berusia bawah 40 tahun, yang merangkumi hampir 46 peratus jumlah pemilih keseluruhan, dan boleh memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan PRK tersebut.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah, turut sependapat dengan Dr Mah, dan menekankan keperluan untuk kembali menjalin hubungan dengan pengundi India luar kawasan.

“Kebanyakan mereka baru sahaja pulang sempena musim perayaan, namun kami sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan mereka pulang sekali lagi untuk mengundi,” katanya sambil menambah kekuatan BN terletak pada semangat perpaduan pelbagai kaum dan usaha mendekati masyarakat di peringkat akar umbi.

Sementara itu,Parti Cinta Malaysia, sebuah parti gabungan Friends of BNdalam kenyataan hari ini menyeru seluruh pengundi di kawasan DUN Ayer Kuning, khususnya dalamkalangan masyarakat bukan Melayuuntuk memberikan sokongan padu kepada calon BN.

Pengerusi Parti Cinta Malaysia Perak Alvin Phang berkatakestabilan dan kemajuan negeri Perak hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat antara kaum, kesepakatan politik yang matang, serta wakil rakyat yang memahami denyut nadi semua lapisan masyarakat.

Kerusi DUN Ayer Kuning mempunyai seramai 31,897 pengundi berdaftar, terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan mereka.